nuffnang

11 Oktober 2010

INI KE BENDANYA SYARIKAT 2 RINGGIT?

TAK NAMPAK SUSAH PUN MAMAT NI...
TAPI YG BEST, MODAL 2 RINGGIT SEKARANG DAH DAPAT 3 BILLION...
NI BUKAN SKIM CEPAT KAYA...
NI SKIM CEPAT GILA KAYA....
KALAU BUKAN PUAK GEROMBOLAN, ADA KER CAN NAK JADI SAMPAI CAMNI?...



Dari RM2 jadi RM3 bilion

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
najib.daud@utusan.com.my

SHAH ALAM 10 Okt. - ''Saya membesar bukan seperti kanak-kanak lain kerana saya mula mengenal alam pekerjaan sejak berusia sembilan tahun hingga 15 tahun untuk membantu menyara ibu dan adik-adik lain,'' kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan Inai Kiara, Datuk Gulzar Mohamad Noor Mohamed (gambar).

Berasal dari Kuching dan datang dari keluarga 10 beradik, sejak dari kecil lagi katanya, beliau amat iri hati dengan kanak-kanak lain yang seusianya yang seronok bermain tanpa memikir sebarang masalah dan tanggungjawab.

Menurut Gulzar Mohamad, ayahnya yang meninggal dunia semasa berumur 11 tahun, memaksakan beliau mengambil tanggungjawab bapanya sebagai ketua keluarganya.

Pada usia muda, pelbagai kerja dilakukannya, dari buruh kontrak membina Hotel Holiday Inn di Kuching, hinggalah menjadi nelayan, pernah bekerja di kuari selain menjadi penyelam dengan bekerja di syarikat-syarikat perkapalan di Kuching.

''Asalkan apa kerjanya boleh menghasilkan wang, saya sanggup melakukannya asalkan kami tidak kelaparan,'' kata Gulzar.

Ketika di zaman persekolahan, kemiskinan keluarga memaksa beliau berjalan kaki lima kilometer setiap hari ke sekolah.

"Saya pernah berjalan kaki dari sekolah dan sampai ke rumah pada pukul lapan malam disebabkan jaraknya terlalu jauh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Selepas itu, beliau menimba pengalaman sebagai pengemudi pernah belayar merentasi tujuh lautan sebelum beliau menyertai Jabatan Marin sebagai pemeriksa untuk Peperiksaan Kompetensi Sijil Marin.

Gulzar Mohamad, kemudiannya meletakkan jawatannya dari Jabatan Laut pada tahun 1992 dan bekerjasama dengan beberapa profesional untuk terlibat di dalam projek tebatan dan pengerukan.

Penglibatan itu membukanya peluang untuk memulakan perniagaan sendiri beberapa tahun kemudian sebagai menjadi perunding kepada syarikat antarabangsa sebelum diminta membuka sebuah entiti bagi membolehkannya menjadi rakan kongsi.

"Berbekalkan RM2 dan berserta dua orang kakitangan pada 11 tahun lalu, Inai Kiara mendapat projek pertama pemulihan pantai dan pelindung ombak di Brunei dan projek kedua di Sarawak,'' katanya.

Nasib Inai Kiara semakin cerah apabila diberi peluang membangunkan fasa kedua Pelabuhan Tanjung Pelepas yang bernilai RM1 bilion yang perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun.

Hari ini, syarikat itu dalam proses membangunkan sebuah limbungan kapal terbesar di Asia Tenggara di Pulau Indah, Klang bernilai lebih RM3 bilion dalam tempoh lima tahun.

Menyorot kembali pencapaiannya, Gulzar Mohamad berkata, semua yang diperoleh kini bukannya datang bergolek kerana beliau pernah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang cukup mencabar.

Antaranya, ketika terbabit di dalam projek gas asli cecair di Taiwan yang mana ketika berdepan dengan taufan pada tahun 2003.

Selain itu perpindahan beberapa tenaga kerja yang dididiknya sejak peringkat awal sehingga menjadi pekerja mahir juga turut menyumbang kepada cabarannya.

"Inai Kiara pernah membayar gaji RM200,000 sebulan kepada seorang pakar asing yang berkaitan di dalam industri ini berikutan ketiadaan pakar tempatan dan sebab itu saya sangat kecewa apabila ada anak tempatan yang betul-betul bagus tiba-tiba berhenti dari syarikat ini,'' katanya.

Namun kata Gulzar Mohamad, beliau memilih untuk belajar menerima kenyataan bahawa tiada satu yang akan kekal.

Beliau, sebaliknya semakin berbangga apabila anak didiknya yang berjaya mencipta karier di tempat lain hasil kemahiran dan pengalaman yang diberikan di Inai Kiara.

"Saya berpegang kepada pepatah iaitu perjalanan akhir bagi seorang manusia adalah ilmu-ilmu yang ditinggalkan kerana ia adalah satu pemberian yang kekal dan disebabkan itu jugalah saya tidak takut kepada persaingan," katanya.

Sehingga kini Inai Kiara telah berjaya melaksanakan beberapa projek berprofil tinggi di luar negara seperti India, Brunei Singapura, Taiwan dan Indonesia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan