nuffnang

18 Julai 2009

SOMBONGNYA PSM


Baik tak payah

Oleh Lokman Zainal Abidin
lockman@nstp.com.my

MEMANG tidak ada siapa berani menjamin emas sepak takraw Sukan Sea atau Asia pasti menjadi milik Malaysia jika gandingan Mohd Normanizam Ahmad, Mohd Futra Abd Ghani dan Mohd Zulkarnain Arif kembali menyarung jersi kebangsaan.

Hakikat itu pantas diakui bekas pengurus skuad sepak takraw ke Sukan Sea Manila 2005, Nasir Musa dan beliau menyebut kesan yang mungkin berlaku andai hasrat ketiga-tiga bekas anak buahnya itu dikabulkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

“Untuk jangka pendek, kehadiran mereka mungkin mampu memperbaiki imej sepak takraw kita. Itu saya akui kerana mereka sudah cukup terkenal dan digeruni lawan. Status juara Sukan Sea di Manila membuatkan mereka disegani di peringkat antarabangsa.

“Saya tidak nafikan kekuatan skuad sepak takraw kita mungkin bertambah baik dengan adanya ketiga-tiga pemain itu tetapi PSM juga perlu memikirkan kesan negatif yang saya yakin turut hadir bersama penyertaan mereka ke dalam skuad elit.

“Bagaimana dengan perasaan pemain skuad elit sedia ada? Mampukah Normanizam, Futra dan Zulkarnain bertahan untuk dua atau tiga edisi Sukan Sea atau Asia akan datang? Ketika ini usia mereka sudah hampir 30 tahun dan tahap kecergasan serta ketahanan mereka mungkin tidak seperti sebelum ini,” katanya.

Bagi Nasir, apa yang penting sekarang ialah semua pihak perlu memberi masa yang secukupnya kepada pemain skuad elit sedia ada kerana keampuhan Normanizam, Futra dan Zulkarnain juga tidak dicapai dalam masa yang singkat.

Kekalahan kepada Indonesia dan Korea Selatan pada Piala Raja Thai belum boleh dijadikan ukuran kekuatan sebenar skuad elit kebangsaan dan Nasir menganggap PSM perlu mengadakan lebih banyak pertandingan di peringkat tempatan bagi memberikan pendedahan sewajarnya kepada pemain.

Kekalahan itu jugalah yang mendorong Normanizam, Futra dan Zulkarnain untuk kembali menyarung jersi kebangsaan sekali gus membantu menaikkan semula imej sepak takraw negara yang semakin merudum.

“Bukan saya tidak bersetuju jika ketiga-tiga pemain itu dibawa masuk ke dalam skuad elit kebangsaan tetapi seperti yang saya katakan tadi, kemasukan mereka akan hanya memberi kesan untuk jangka pendek sedangkan kita mahukan lebih daripada itu,” katanya.

Begitupun, pengurus skuad sepak takraw ke Sukan Asia Doha 2006, Idris Abd Karim berkata, PSM boleh menggunakan pengalaman ketiga-tiga pemain terbabit untuk menguatkan lagi skuad elit kebangsaan dengan cara mengarahkan beberapa pemain sedia ada untuk beraksi bersama-sama.

“PSM boleh menggandingkan ketiga-tiga pemain ini dengan pemain junior yang ada di dalam skuad. Dengan cara itu, pemain junior kita boleh mendapat pengalaman serta pendedahan yang baik. Saya yakin gandingan senior dan junior di dalam skuad elit kebangsaan akan menghasilkan sesuatu yang jauh lebih baik.

“Dalam apa-apa sukan sekalipun, kita memerlukan sumbangan pemain senior kerana mereka ini mempunyai faktor yang boleh mendatangkan gerun kepada lawan.

“Reputasi mereka selaku pemenang emas Sukan Sea Manila sudah cukup baik untuk membuatkan lawan kita goyah,” kata Idris.

Emel Artikel Cetak Artikel

Tiada ulasan:

Catat Ulasan